Bismillahirrahmanirrahim...
Catatan ke-2 buat tahun 2013.
Bulan Januari bulan yang ku kira sibuk bagiku. Manakan tidak kerana apabila muncul sahaja hujung minggu pasti aku tidak akan lekat di rumah.
Hujung minggu pertama pulang ke kampung halaman Abah menziarahi Tok dan berkenalan dengan Opah yang baru. Pastinya aku berasa sedikit janggal membiasakan diri dengan Opah yang baru menggantikan Opah yang telah pun lebih dahulu pergi menghadap Ilahi. Kiranya Tok telah pun mengalami kehilangan yang ke-2. Arwah Opah (mak kandung kepada Abah) telah lebih dahulu menghadap Yang Maha Esa tatkala usiaku 9-10 tahun. Seingat aku waktu tu tahun 1996 atau 1997.
Kehilangan yang ke-2 pada tahun lepas. Terkenang aku arwah Opah. Benarlah kata orang, kita hanya lebih tahu menghargai akan seseorang itu hanya apabila mereka melangkah pergi dari hidup kita sementara atau buat selama-lamanya.
Manakan tidak boleh ku kira rapat juga dengan arwah Opah. Ketika aku masih berada di bangku sekolah, ada kalanya aku pulang ke Hutan Melintang, Perak menziarahi Opah dan Tok. Dibandingkan jarakku untuk pulang ke rumah dan ke kampung, dekat lagi kampungku ini. Sementelah aku belajar di Sabak Bernam. Dengan menaiki bas lompat yang tidak ku ingat namanya, perjalanan hanyalah sekitar 30-40 minit, aku tiba di rumah Tok.
Ketika asramaku mengalami masalah gangguan bekalan air, aku membawa pulang 3 orang rakanku yang rapat denganku ketika itu ke rumah Tok. Meriahlah rumah Tok dengan kehadiran kami. Arwah Opah la yang membantu menyediakan makan minum kami sambil menurunkan ilmu memasaknya pada kami.
Mungkin dengan kehadiran kami mengubat sedikit kekosongan tanpa anak-anak di sisi. Opah menjaga seorang sepupuku sejak dari kecil lagi. Anak kepada Pak Andak yang selang beberapa buah sahaja dari rumah Tok.
Tiba-tiba aku rindukan arwah Opah. Masih terbayang di mataku turun naik garisan di mesin yang terdapat di ICU Hospital Teluk Intan. Walau aku tidak pernah mempelajari ilmu perubatan, garisan itu menunjukkan sesuatu. Wajah arwah Opah ketika itu amat tenang.
Sekitar jam 4.00pagi, arwah Opah menghembuskan nafas yang terakhir. Ketika ini, aku sedang tidur. Pergilah seorang insan yang disayangi buat selamanya.
Alhamdulillah.
Walau aku tidak begitu banyak berbakti pada arwah Opah tatkala masih hidup, aku masih sempat menjalankan tanggungjawabku menguruskan jenazah arwah Opah sepenuhnya. Dengan berbekalkan sedikit ilmu Tajhiz Jenazah yang aku pelajari tatkala di tingkatan 2 melalui pertandingan amal Islami anjuran JAIS, aku berjaya mengamalkannya dan mempraktiskan buat kali pertama.
Sebak aku ingin meneruskan jari-jemari meluahkan tentang rasa hati mengenai ini.
Jernih wajah arwah Opah tatkala aku mengucup dahinya buat kali terakhir, sejuk tubuhnya masih terbayang.
Ya Allah, tempatkanlah arwah Opah di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah.
Nur: Mati itu pasti.

No comments:
Post a Comment