Bismillahirrahmanirrahim...
Wah! Akhirnya aku muncul untuk entry yang baru. Kesuntukan masa dan keburuan waktu lantas menyebabkan aku mengabaikan teratak sepi nan indah ini tanpa catatan yang baru. Oh! Kerap saja aku beralasan tentang waktu. Apa benar waktuku itu sungguh suntuk hingga aku langsung meng'anak tiri' kamar yang setia menemani aku selama ini tatkala duka yang merantai diri ini. Oh! Benar saja aku tidak sibuk malah sengaja pura-pura sibuk.
Banyak kisah yang terlakar dalam hidup seorang aku tidak dicatat mahupun dicoret di mana-mana. Sejauh manakah ingatan aku terhadap kisah suka-duka seorang aku itu? Entah dan tidak aku punya jawapan untuk semua itu.
Sangkaku di dalam bulan Oktober barangkali akan ada sekurang-kurangnya dua atau tiga buah catatan, namun azam tinggal azam sahaja.
Sambutan Hari Raya Aidiladha yang diraikan di kampung halaman bondaku. Perjalanan pulang ke Felda Keratong yang memakan masa hampir 7 jam itu amat meletihkan. Sepanjang perjalanan, aku cuma mampu untuk memejamkan mata dan melayan kantukku. Aku bukanlah jenis yang mudah melelapkan mata bila mana berada di dalam kenderaan. Namun, entah mengapa perjalanan kali ini aku mudah sekali terlelap. Mungkin faktor usia yang semakin bertambah menyebabkan badan tidak lagi kuat dan segar. Atau mungkin sebenarnya fikiranku yang berpusar mengelilingi cakerawala.
Aigoo. Bila mana aku sudah mula memainkan kata, sudah jauh sekali seperti aku. Bukanlah ingin menjadi pakar bahasa, namun sekadar mencuba menggunakan kata-kata yang amat janggal di pendengaran telingaku. Mungkin ada penggunaannya yang langsung tidak kena pada tempatnya. Mana mungkin salah untuk mencuba bukan?
Masa cutiku dihabiskan dengan terbaring longlai di atas katil. Entah kenapa sejak dari hari Khamis lagi aku sudah mula tidak sedap badan. Dek kerana itu aku berusaha untuk melelapkan mata di dalam kenderaan. Mungkin letih bekerja dan berulang-alik menaiki kenderaan awam. Sejak akhir-akhir ini kerap benar tergendala waktu perjalanan. Mungki kerana cuaca yang tidak begitu baik. Hujan panas hujan dan petir sabung-menyabung, menyebabkan sistem bekalan terganggu seketika.
Awalnya aku cuba untuk bertahan dan melawan rasa sakit dan panasnya badan. Namun, lenaku kerap terganggu. Batuk diselang-seli dengan soseh-soseh hidung yang tersumbat. Akhirnya aku mengalah dan meminta ubat pada ayahandaku. Terus dimintanya sepupuku membelikan sepapan Panadol.
Aku jenisnya jika sakit selagi mampu untuk bertahan aku tidak akan mengambil sebarang ubat. Namun, aku tetap kalah dengan sakit. Suhu badan yang naik mendadak dan selera makan yang menurun membuatkan aku terpaksa juga mengambil dua biji Panadol. Usai menelan ubat, aku kembali ke tempat pembaringanku. Sekejap saja aku terlelap. Panas badan yang tidak lagi dapat ku tahan seakan-akan hilang. Aku lali dengan ubat.
Sedar-sedar Asar menjelma. Bingkas aku bangun dan menapak longlai menunaikan kewajipan seorang hamba. Walau panasku sudah kebah, aku masih lemah. Selera makanku hanya tertumpu pada lemang dan ketupat. Ikutkan bonda melarangku menikmati juadah tersebut kerana bakal melambatkan prosesku sembuh. Namun, hanya itu sahaja yang mampu memenuhi selera makanku.
Pastinya, 2 hari aku berada di kampung hanya dihabiskan di atas katil. Langsung tidak aku berdaya bercerita dan melayan celoteh sepupuku, makcikku dan nendaku. Apakan daya. Sakit membuatkan aku kalah.
Nur: Salam Maal Hijrah 1434H. Buang yang keruh ambil yang jernih.
No comments:
Post a Comment