Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum buat pembaca yang budiman...
Ke hadapan anakanda Mohammad Shauqi bin Mohammad Shafiq,
Hari ini genap 2 bulan pemergian anakanda yang dikasihi dan diingati selalu oleh Ummi dan Abi. Isya' tadi usai Ummi menunaikan solat, Ummi terlihat seorang bayi yang pada perkiraan Ummi sekitar dua bulan usianya. Hati ini meronta-ronta ingin memegang dan menciumnya. Tika doa dibaca usai mendirikan solat (yang mana tatkala doa dibaca airmata tumpah merindui anakanda yang seusia dengan bayi yang Ummi nampak).
Doa selesai dibaca oleh imam. Makmum bersalam-salaman sesama mereka.
"Assalamualaikum akak, boleh saya minta izin dukung dan cium anak akak?" soal Ummi pada seorang wanita yang Ummi kira lebih tua dari Ummi.
"Boleh adik, " jawabnya.
Ummi teragak-agak dan takut-takut ingin mendukung bayi perempuan tersebut. Namun, naluri keibuan mengatasi segalanya. Ummi berjaya memegang walaupun Ummi tidak tahu betul atau tidak cara Ummi memegang bayi perempuan tersebut.
"Berapa usia bayi ini dan siapakah namanya akak?" soal Ummi pada akak yang baru sahaja Ummi kenali.
"2 bulan lebih. Lahir pada 27 November 2014. Nurul Iman namanya,"tutur akak tersebut pada Ummi. Lembut bicaranya seperti lembut wajahnya dan anaknya, Nurul Iman.
"Maafkan saya akak. Saya teringat pada arwah anak saya yang meninggal pada 7 Disember yang lalu," kata Ummi tanpa dipinta. Setitis airmata Ummi kesat dengan pantas.
Setelah sekali cium dan pegang Nurul Iman, Ummi terus menyerahkan kembali kepada ibunya. Tentu sekali Nurul Iman lebih selesa berada di pangkuan ibunya berbanding Ummi yang langsung tiada kaitan.
Sempat Ummi bertanya nama ibu Nurul Iman. Nadiah namanya. Seorang pelajar Master jurusan Kejuruteraan Mekanikal. Sekali imbas tidak akan menyangka akak ini mengambil jurusan tersebut. Jurusan yang mana rata-rata dipelopori oleh kaum Adam.
Anakanda Shauqi,
Dua bulan sudah Ummi dan Abi melalui kehidupan tanpa anakanda di sisi
Bukan mudah untuk Ummi dan Abi hadapi hari-hari yang berlalu
Terutamanya Ummi
Berkali-kali Ummi goyah dan kalah bila mana airmata Ummi tumpah
Melihat bayi-bayi yang comel dan bersih lagi suci
Cepat-cepat Ummi palingkan muka Ummi dari mereka
Ummi pernah menangis di bahu Opah
Opah tenangkan Ummi
"Najat, nak masuk syurga senang ke susah?" soal Opah kepada Ummi.
"Susah."
"Najat kan dah ada kunci untuk ke syurga. Shauqi kan sudah menanti Ummi dan Abi nya di sana. Kenapa nak sedih. Najat anak Mama kan kuat orangnya," pujuk Opah lagi menenangkan hati Ummi.
"Najat tak kuat Mama. Najat tak kuat. Semua nampak Najat seolah-olah kuat. Ini di depan orang yang melihat Najat seolah-olah kuat. Najat redha mama. Najat redha kehilangan Shauqi tatkala usianya 9 bulan. Tapi Mama, kenapa Najat yang Allah pilih untuk ujian ini?" kata Ummi pada Opah sambil berlinangan airmata.
"Sabar Najat. Anak Mama yang Mama kenal kan seorang yang sabar," lembut tutur bicara Opah kepada Ummi.
Ummi masih ingat lagi anakanda Shauqi, tatkala Ummi melahirkan dirimu secara normal dek kerana Ummi tidak boleh melahirkan dirimu secara pembedahan. Jika pembedahan dipilih, akan membahayakan nyawa Ummi kerana pendarahan mungkin berlaku dan tidak dapat dihentikan.
"Puan, tolong sahkan jantina anak puan," pinta seorang Doktor mungkin.
"Lelaki."
"Puan, kami ingin jalankan bedah siasat ke atas anak puan," sekali lagi Doktor yang sama bersuara.
"Saya tidak benarkan."
Lemah Ummi bersuara dan selepas itu Ummi terus tidak sedarkan diri.
Apa yang Ummi ingat lagi anakanda Shauqi, tatkala Ummi dan Abi diarahkan untuk terus ke hospital sejurus melakukan checkup bulana di Klinik Bersalin An-Nur Seksyen 6, hampir 5 jam Ummi dan Abi menunggu sebelum dirawat oleh Doktor yang bertugas.
Ummi yang dalam keadaan lemah, yang hanya mereka ingat adalah demam biasa dan bukan lagi masanya untuk melahirkan dibiarkan sepi menanti. Abi mengajak Ummi menunaikan solat Isya' sebelum sambung menunggu.
Setianya Ummi dan Abi menunggu giliran. Hinggalah tinggal 1 lagi nombor kami sebelum dipanggil, Abi hampir hilang sabar bila mana melihatkan keadaan Ummi yang semakin lemah. Terus kami dipanggil masuk oleh Doktor yang bertugas. Namun telinga Abi sempat menangkap kata-kata Doktor perempuan tersebut,
"Nak kena rawat perempuan pregnant nie ke pulak."
Mungkin dia bengang atau apa kerana waktu tugasannya hampir habis tapi masih ada lagi pesakit yang menanti.
Ya. Ummi mungkin pesakitnya yang terakhir pada waktu itu untuk jamnya bertugas.
Anakanda Shauqi,
Setakat ini dulu luahan hati Ummi yang amat merindui dirimu. Tiada yang dapat menggantikan tempat anakanda di hati Ummi dan Abi. Walaupun sekadar mampu melihat jantina dirimu, Ummi redha akan qada' dan qadar Illahi.
Salam sayang,
Ummi
1.07 pagi

1 comment:
Salam perkenalan dik.. Ya Allah besarnya ujian buat adik dan suami.. berderai air mata akk taktkala membaca coretan adik ni.. sabar lah dik.. betul kata mak adik.. adik dan suami dah ada kunci di sana.. memang beratkan dik tapi adik selalu kene ingat kelebihan yang adik dapat berbanding orang lain kelak.. sabar ye..
Post a Comment