17 January 2017

Bukti Cinta Enterprise

Assalamualaikum kepada pembaca yang budiman.

Lama tak update blog sepanjang dua tahun berkahwin. Tahun ini aku ingin kembali mengaktifkan diri untuk berblogging. Salah satu cara aku melepaskan stress adalah dengan menulis. Aku kira rakan-rakan blogger aku yang lain dah lama tinggalkan blog masing-masing. Mereka lebih kepada medium massa yang lain seperti Instagram dan Facebook. Aku mengenali blog ketika zaman belajarku pada tahun 2007. Ketika itu aku ditugaskan oleh lecturerku untuk menyiapkan assignment dalam bentuk blog. Aku bersama rakan sekelasku Maya, kami bersama-sama membentuk kumpulan dan menyiapkan blog tersebut.

Memandangkan blog merupakan satu medium yang bagus untuk menulis, maka aku mengambil keputusan untuk membuka satu akaun blog di blogspot. Sejak aku berkahwin, aku telah meninggalkan dunia blog dek kesibukan bekerja dan sebagainya. Tetapi sebab utama kenapa adalah laptop aku digunakan oleh suamiku untuk menjalankan operasi kilang. Setelah setahun berkahwin, suamiku mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Mengambil kira kos ulang-alik ke tempat kerja yang semakin meningkat, aku bersetuju dengan tindakan suamiku dan menyokong penuh keputusan yang telah diambil.

Sebuah syarikat telah ditubuhkan atas nama Bukti Cinta Enterprise. Dengan bonus yang diperolehi dari hasil titik peluh suamiku di syarikat arkitek tempat dia bekerja, ditambah pula dengan sedikit wang simpananku, kami memulakan perjalanan sebuah syarikat sebagai bukti cinta antara kami berdua. Alhamdulillah, kini Bukti Cinta Enterprise telah berada di tahun kedua beroperasi. Kata orang jatuh bangunnya sebuah syarikat adalah pada tahun pertama syarikat tersebut tertubuh. Tidak dinafikan kami mengalami sedikit masalah di tahun pertama. Kini kami dalam proses untuk bangkit kembali. Adat berniaga ada jatuh dan bangunnya.

Proses perniagaan yang kami lalui amat payah sekali. Mana nak cari bahan mentahnya, mana nak cari cara menggunakan mesin, mana cara nak menguruskan tempahan yang masuk. Hanya Allah yang mengetahui berapa banyak airmata yang jatuh dari usaha kami untuk memulakan perniagaan kami itu. Doa tidak putus-putus kami panjatkan pada Allah s.w.t. Hanya padaNya kami memohon bantuan dan pertolongan. Tidak dilupa pada sokongan ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Sokongan padu dari segi tenaga yang disumbang, kini kami mampu bertapak kembali pada tahun 2017 meneruskan perniagaan kami.

Semoga tahun ini adalah tahun yang baik bagi kami untuk memiliki sebuah kedai dan membuka peluang kepada lebih ramai orang untuk menyertai syarikat kami. Secara asasnya kami mendapatkan khidmat nasihat dari abah selaku mentor kami, Jika ada masalah kami berbincang dan menyatakan permasalahan dan pandangan kami tentang apa yang berlaku dalam syarikat kami. Dalam berbisnes kita tidak boleh malu atau segan untuk bertanya pada orang yang lebih pakar. Kerana mereka lebih tahu dan arif. Dalam menuntut ilmu bisnes ini kami masih dalam proses belajar dan belajar dan terus belajar. Setakat ini kami tidak pernah menghadiri mana-mana seminar perniagaan. Hanya melalui bacaan dan cerita pengalaman-pengalaman orang ternama kami belajar cara menguruskan syarikat.

Alhamdulillah, semoga Allah meluaskan rezeki kami sekeluarga. Kini dengan kehadiran seorang cahaya mata yang kami tunggu setelah sekian lama sepanjang perkahwinan kami, ianya mampu mengeratkan lagi hubungan antara kami berdua. Ianya sebagaimana tertubuhnya syarikat kami. Anak yang lahir ini sebagai bukti cinta antara kami berdua. Walaupun Allah menguji kami berdua dengan kehilangan seorang anak pada dua tahun yang lalu, ianya tidak menghalang kami untuk meneruskan proses kehidupan kami sebagai seorang manusia.



Sekian dari saya,
Nurun Najat binti Hamdan


No comments: