16 October 2009

Hati Seorang Murid- Ep 1


Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum buat semua pembaca Seindah Bicara Kasih...

Setelah sekian lama tidak berbicara di sini, diari hati ini ditinggalkan sepi dek kerana kesibukan mengejar due assignment dan aktiviti pelajar yang makin bertambah (sengaja ditambah) dengan tujuan untuk lebih fokus. Hari ini, aku ingin mendedahkan sesuatu. Sebuah kisah yang tiada kaitan dengan yang hidup mahupun mati. Jika ada yang terasa cerita ini terkena mengena dengan hidup anda, maaf dipinta terlebih awal supaya tiada salah faham di kemudian hari. Terimalah sebuah pendedahan eksklusif hanya di Seindah Bicara Kasih.

****


****


****


****


****



Kring....

"Bangun,"  ketua kelas bersuara mengarah ahli kelas 6 A yang lain berdiri untuk memberi salam hormat pada guru tingkatan yang disayangi.

"Terima kasih cikgu." Lantang suara ketua kelas 6 A mengetuai ucapan terima kasih pada Cikgu Ibrahim.

"Terima kasih cikgu." Pelajar darjah 6 A mengucapkan terima kasih usai guru mereka menamatkan sesi pembelajaran hari itu.

"Yay! Dah habis sekolah untuk hari ini," Qistina bersorak riang.

"Qis, petang ni kita pergi library nak tak?" soal Amira seraya mengerling pada Hana di sebelahnya tanda memerlukan sokongan akan cadangan yang diberikan.

"Erm, susah sikit la. Lain kali la ya?" Qistina menolak lemah ajakan Amira.

Amira hanya mengangguk tanda faham akan penolakan temannya itu. Acapkali ajakannya ditolak. Seakan mengerti dengan jawapan daripada Qistina terkadang membuatkannya merasa kasihan akan Qistina. Dia mengerti akan hidup Qistina yang sukar untuk mendapat pelepasan dari kedua ibubapanya.

Pernah juga Qistina menyuarakan rasa tidak puas hatinya itu akan kawalan ketat ibubapanya, namun Amira hanya mampu menasihati Qistina agar terus bersabar dan bersabar. Dia tahu dan dia yakin, Qistina mampu bertahan dengan situasi itu. Qistina yang dikenalinya seorang yang patuh pada kedua ibubapnya walau terkadang terlepas jua pemberontakan jiwanya yang baru mengorak langkah mengenali kehidupan yang penuh dengan liku dan pancaroba ini.

Qistina yang dikenalinya juga, dalam diam dan lembut peribadinya, mempunyai jiwa yang tegar dan amat susah untuk mengalah. Jika hitam yang dikatanya, maka hitamlah keputusan yang harus diambil. Jangan pernah sekali dikatakan putih. Ini kerana, kelak rajuk Qistina  yang panjang tak pernah diminta dipujuk itu, terkadang membuatkan Amira sedih. Dia tahu, jauh di sudut hati Qistina, mempunyai hati yang amat lembut bak jeli yang makin mencair.

Seringkali Amira lihat, Qistina mengelap matanya dengan hujung jarinya. Mata Qistina kerap dilihat berkaca. Jika ditegur, pantas sekali alasan habuk masuk mata yang diberikan. Amira terkadang geram dengan Qistina yang berpura-pura menunjukkan dirinya kuat dan tabah. Bila ditanya mengapa? Qistina hanya menjawab dengan senyuman. Amira tahu, Qistina bukanlah seorang yang kuat dan tabah seperti yang dilihatnya.

Pernah suatu hari, guru pendidikan seni mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar muntah dari mulut seorang guru, "Awak ingat saya simpati dengan awak? Pidato yang macam t**i kucing tu awak ingat bagus sangat? Kalau hebat tak apa, ni tahu nak menyusahkan saya je."

Merah padam muka Qistina menahan malu sambil mengekang airmata yang bertakung di kolam matanya mengalir membasahi pipi yang mulus itu.

Sambil melontarkan senyuman, Qistina bersuara, "Saya tahu saya banyak menyusahkan cikgu. Cikgu banyak beri peluang kepada saya untuk terus maju. Tapi pernahkan cikgu faham akan situasi yang saya hadapi sekarang ini? Saya tak pernah meminta semua ini berlaku pada saya dan saya tak pernah cuba meraih csimpati cikgu. Salahkah saya dalam situasi ini? Atau situasikah yang bersalah? Maaf cikgu, saya tak berniat untuk lepas bicara sebegini. Tapi, saya kecewa dengan anggapan cikgu dan simpati cikgu seolah-olah saya ini adalah pelajar yang paling teruk dan bermasalah."

Selesai mengeluarkan kata-kata itu, Qistina terus berlari menuju ke tandas. Dia malu, sedih dan sebak. Tak pernah dia pinta akan kenangan yang sebegitu rupa di akhir alam rendah persekolahannya. Tapi, andai penghinaan begitu yang harus ditanggung, dia pasrah. Seumur hidup malu itu akan ditanggung. Dengan bersaksikan 35 pasang mata, seolah-olah dia merupakan pesalah yang berada di tali gantung menanti hukuman gantung dilaksanakan, dia dihukum tanpa diberi peluang untuk menjelaskan situasi sebenar.

Tak pernah sekalipun, kisah ini luput dari kotak memorinya. Masih segar akan tayangan itu. Maafkan? Adakah semudah coklat yang mencair di mulut. Seperti iklan M&M, coklat cair di mulut? Tak semudah itu. Jika lukanya telah sembuh, parutnya masih ada. Kekal dan sentiasa kekal di situ. Kemaafan yang diberi hanyalah mampu untuk menyembuhkan luka tetapi bukan melenyapkan parut kesan luka yang ditinggalkan.

Maafkan Qistina cikgu. Kerana pengajaran yang cikgu tinggalkan suatu masa dahulu, hingga kini saya berada di tahap sekarang. Kelak, jika saya berhadapan dengan anak cikgu mungkin, dan kisah yang sama berlaku, maafkan saya cikgu. Saya tak berniat untuk membalas perlakuan cikgu itu, tapi semuanya berlaku kerana pilihan tidak pernah diberikan pada saya. Yang ada pada saya hanyalah jalan yang ditunjuki. Bukan pilihan untuk jalan yang boleh diikuti.

~T.B.C~

No comments: