Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum buat semua pembaca..
Beberapa jam sahaja lagi 2009 bakal melabuhkan tirai. Sungguh aku langsung tidak menyedari akan pantasnya waktu berlalu. Hari berganti hari hingga genap 365 hari bagi tahun 2009 ini.
"Hidup tidak selalunya indah, langit tak selalu cerah.."
Begitulah lirik lagu yang cukup popular sekali didendangkan oleh kumpulan nasyid tanah air. Sebagai seorang insan yang khilaf dan sering terlupa, terkadang tanpa sedar ada kewajipan yang ditinggalkan tanpa sedar dan ada juga larangan yang dilakukan tanpa sedar. Ayuh! Muhasabahlah kembali apa yang telah berlaku sepanjang 2009. Sedar tak sedar kalender Hijriah juga telah berganti. Mengingatkan kita tentang masa lalu yang semakin jauh meniggalkan kita.
Hidup ini kadangkala diwarnakan dengan cahaya mentari yang menyinar terik dan adakalanya awan berarak menutupi terik matahari itu lalu membawa titisan hujan. Apabila hujan kembali reda, muncullah pelangi yang membawa tujuh warna yang indah. Spektrum warna kehidupan indah sekali terbentuk. Adakalanya kita gagal dan adakalanya kita kembali berdiri megah di atas tangga kejayaan.
Duka yang membaluti diri biarkan dibawa sang bayu yang bertiup lembut menampar-nampar pipi. Terasa hembusannya apabila bayu bertiup, dan terasa terbuai-buai apabila ianya pergi jauh. Begitunya duka yang dilalui manusia dalam hidup ini, terasa sakitnya walaupun hanya goresan dan lintasan terlintas di hati kecil. Kelak, apabila ianya pergi goresan itulah yang mengingatkan akan kepahitan yang pernah dirasai suatu masa dulu.
Suka pula kembali menjengah dan membaluti diri. Memberikan semangat untuk terus berpijak di bumi yang nyata. Agar tidak dibayangi kisah silam yang membuatkan airmata kembali menemani diri. Zaman itu biarkan pergi jauh-jauh dari diri. Semangat yang ada digunakan bagi mengejar kejayaan yang terbentang luas. Seharusnya anda positif dan optimis dengan masa depan anda. Anda tidak boleh merubah apa yang telah berlalu. Benar bukan? Jadi majulah ke hadapan tanpa mengulangi kisah duka itu kembali.
Nur: 2009 tahun yang stabil buat diri ini. Tiada kedukaan yang merantai terlalu kukuh, tapi kegembiraan yang banyak menemani rapat diri ini dalam menjadi lebih dewasa dan matang. Alhamdulillah Ya Allah memudahkan urusan hidup ini.
No comments:
Post a Comment