08 April 2010

Penantian

Bismillahirrahmanirrahim.. 
Ke hadapan kau yang tak pernah ku kenali..

Entah angin apa yang membuatkan aku berani mencoretkan catatan ini. Sekadar untuk meluahkan rasa yang membelenggu di hati barangkali. Jujurnya, aku tak pernah pun terfikir untuk mempunyai hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki. Pada aku, bila waktunya telah tiba pasti ia akan datang sendiri. Kelak, tiada hati yang terluka, tiada air mata yang mengalir, tiada dendam yang terpendam.

Kata seorang penulis, jodoh itu adalah rahsia. Ia terjawab bila tiba masanya. Tidak ada petanda, pembayang atau ramalan. Apabila bertemu jodoh, bersatulah pasangan itu. Jadi, untuk apa aku risaukan tentang rahsia yang memang tersimpan rapi dalam jagaan Allah Ta'ala. Benar, kata orang kita tak boleh menunggu jodoh, kita harus mencarinya. Kira, dalam tempoh itu kita berhak untuk mengenali dan membuat penilaian tentangnya.

Tak salah bukan jika kita ingin memilih yang terbaik. Tak salah juga untuk kita menolak seseorang dalam hidup kita. Selagi mana kita belum bersedia untuk menempuh alam yang baru, mengapa kita nak menjebakkan diri dalam semua itu. Jika teman yang kita kenal atas dasar kerja, jadi kenapa mesti dipanjang-panjangkan untuk bertanya khabar dan sebagainya. 

Aku bukanlah mahu menidakkan fitrah diciptanya manusia itu berpasang-pasangan. Pernah juga rasa untuk disayangi dan menyayangi muncul. Tapi, cepat-cepat aku ingatkan diri, rasa itu hanyalah untuk kau yang dijanjikan untukku. Pernah ada yang menghulurkan salam padaku, tapi secara halus aku menolaknya, kerana aku masih tidak bersedia untuk semua itu. 

Aku menginginkan yang terbaik untuk diriku. Aku mengimpikan seseorang yang mampu memanduku dan memimpinku ke jalan yang diredhai Allah Ta'ala. Jadi, aku harus menyiapkan diriku ke arah itu. Aku harus sentiasa memperbaiki diri yang serba kekurangan ini sehinggalah kita bertemu. Dan semua ini akan berterusan.

Andai kau yang ditakdirkan untuk diriku, aku menerima ketentuan Allah ini. Tentunya rasa kasih itu akan bercambah hari demi hari sehinggalah kita bertemu. Selagi kita masih belum mempunyai ikatan yang sah, janganlah kita hanyut dalam rasa ini. Janganlah sehingga kita melanggar laranganNya yang mana natijahnya akan membawa kesusahan di masa hadapan.

Yakinlah pada janjiNya bahawa lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan begitu sebaliknya. Cintaku ini hanyalah untuk Allah. Pastinya Allah akan memanduku pada orang yang juga menyintaiNya. Suatu hari nanti, bila kita telahpun bertemu, pasti aku akan khabarkan apa yang ingin aku katakan selama ini. InsyaAllah.

Salam sayang dari yang tidak mengenalimu,
Nur Qistina
20100408
0545

No comments: