Bismillahirrahmanirrahim...
Sejak dua-menjak jiwa ini rasa KOSONG. Ibarat sebiji cawan yang zahirnya tiada air di dalamnya, tapi dek kerana pandangan mata yang sedikit 'songsang' melihat cawan itu penuh berisi air. Jika benarlah cawan yang kosong itu kelihatan penuh, alangkah indahnya rasa dahaga dapat hilangkan seketika. Penat lelah pasti terubat dengar mengalirnya air setitis demi setitis membasahkan tekak yang kering-kontang.
Hidup. Kadang berasa di atas, kadang berada di bawah. Ibarat roda yang berputar dan terus berputar tanpa henti hingga suatu masa yang tidak pasti. Kadang merasa indahnya hidup ini bagai coretan pelangi di kanvas langit nan biru, kadang merasa bagai ingin 'pergi' dari kehidupan yang melelahkan. Begitu hidup manusia. Apabila bahagia datang menjengah pantas sahaja berhibur tanpa mempedulikan masa-masa yang dilalui dengan duka dan lara. Tanpa sedikitpun berhenti berseronok.
Bila hadir masa susah dan sengsara barulah merasa akan dunia seakan telah berhenti berputar. Barulah tanpa segan-silu menadah tangan ke langit lalu berdoa mengharap derita dan sengsara diusir sejauh-jauhnya dari diari hidup mereka. Agar diganti dengan kebahagian tanpa penghujung. Kegembiraan tanpa penamat.
Lupakah mereka bahawa ketika ujian menimpa diri barulah mereka menyedari akan kekurangan diri yang sentiasa berharap pada kuasa yang ABADI. Pada pendengar yang SETIA tanpa putus-putus memberi perhatian pada apa yang dipinta.
Dari dalam diri yang sebenarnya ingin meluahkan segala kekusutan.
Dari dalam diri yang ingin memuntahkan segala kekesalan.
Dari dalam diri yang ingin menghapuskan segala duka lara.
Tamak sungguh dari dalam ini yang berharap pada yang indah belaka.
Tamak sungguh dari dalam diri ini yang sombong bongkak meninggi diri.
Rencana apa yang dimahukan oleh dari dalam ini yang sebenarnya?
Nur: Ya Alah, permudahkan urusan hambaMu ini....
No comments:
Post a Comment