30 March 2012

Mac Yang Akan Berlalu

Bismillahirrahmanirrahim...

Memulakan minggu terakhir bulan Mac dengan hari Selasa. Kira cuma 4 hari sahaja aku bekerja termasuk hari ini. Bulan April bakal tiba kurang lagi 1 hari. Sepertiga tahun 2012 bakal berlalu. Sekelip mata. Pejam celik. Pejam celik. Kalendar bulanan berganti. 

Syukur padamu Ya Allah, aku kembali bertemu dengan penghulu segala hari. Hari yang mana penuh keberkatan dan rahmat dariMu. Hari yang mana diciptakan langit dan bumi. Hari yang mana akan terjadinya hari pengakhiran yakni penutupan bagi segala hari di dunia ini.

366 hari pada tahun 2012 ini. 4 tahun sekali meraikan lebihnya satu hari dalam kalendar tahunan. Indahnya aturan hari olehMu. Tersembunyi di baliknya 1001 rahsia yang sedikit darinya dapat diketahui oleh hambaMu yang terbatas pengetahuannya. Dan selebihnya di bawah jagaanMu, Ya Allah.

Bulan Mac yang pada kiraanku tersangatlah ketat jadualnya. Tanpa aku sedar ianya akan digantikan bulan April Ahad ini. I <3 Mac. But I do <3 April. Memerlukan kekuatan jiwa + raga, fizikal + mental serta jasmani + rohani. Sokongan daripada orang sekeliling amat-amat diperlukan dan dihargai. Berdirinya sebuah bangunan itu bukanlah hanya dengan adanya satu tiang. Lebih banyak tiang yang didirikan, akan kukuhlah binaan bangunan itu.

Bila datang sahaja Jumaat, aku cukup suka dan gembira. Waktu kerja lebih pendek dari hari yang lain. Namun, tatkala tugasan yang memerlukan perhatian lebih, kadang-kala mengheret aku bekerja seperti hari kebiasaan. Hajat di hati tatkala tepat jarum jam menunjukkan waktu kerja berakhir, ingin segera bergegas meninggalkan bangunan setinggi 49 tingkat itu. Hasrat itu cuma tergambar di hati. Hakikatnya aku yang rasa.

Minggu ini, jika tidak salah perkiraanku akan ada salah seorang teman sekolahku bakal melangsungkan walimah. Juga seorang daripada seniorku yang akhirnya berjaya mengikat tali pernikahan yang sah bagi masing-masing menggalas tanggungjawab seorang suami dan isteri. Barakallahulakuma buat kedua pasangan ini.

Moga Allah menitipkan pertolongan dan rahmat dalam aku menjalankan tanggungjawab dan amanah menyempurnakan tugasanku sebaiknya.Dengan masa yang begitu mengekang. Benarlah kata mereka yang lebih awal bekerjaya bila mana seseorang itu melangkah ke alam pekerjaan, waktu merupakan musuh yang paling utama. Ianya menjadi musuh tatkala pengurusannya tidak cermat. Bakal menjadi teman akrab bila perancangan yang dilakukan lebih awal berjaya dituruti.

Kerjaya = Kerja + Berjaya. Mudah-mudahan hendakNya.

'Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan memegang akan setiap masa hambaNya. Bila mana masa yang tepat Dia ingin menunaikan permintaan hambaNya. Dia Maha Hebat dalam mengatur sesuatu. Bila mana Dia menjadikan seseorang itu begitu dan di situ, terkandung 1001 sebab dan hikmah akan ketetapanNya itu. Dialah Tuhan semesta alam'

Nur: Ya Allah, permudahkanlah apa yang sukar bagiku. Jadikan pekerjaanku ini sebagai ibadah yang menambahkan lagi taqwa dalam diriku.


No comments: