26 June 2010

Catatan Rindu 1

Catatan Rindu 1

Mata ini masih enggan dilelapkan. Ada sesuatu yang mengusik tasik hati ini. Sewajarnya pada waktu sebegini, waktu rehat yang telah direncanakan harus dihargai sebaiknya. Esok hari, dia bakal sibuk dengan aktiviti rutin seperti biasa. Semakin dia menahan kata hati yang begitu ingin sekali meluahkan tentang 'sesuatu' itu, semakin segar matanya. Kelopak matanya bagai ditahan-tahan untuk terlena.

Dia cuba ketepikan segala bayangan lalu. Tapi, masih gagal. Sewajarnya, bayangan itu telahpun dileraikan dari laci memorinya. Namun, ada batu besar yang menghalang laluan bayangan itu untuk di'usir' pergi. 

Januari 2000

Sayu rasanya untuk menamatkan alam rendah persekolahan. Teman-teman sepermainan, bakal berpisah membawa haluan masing-masing. Ada yang bakal melanjutkan alam menengah persekolahan hanya berdekatan dengan rumah, yang mungkin jarak cuma beberapa ratus meter, dan ada juga yang bakal menghuni asrama untuk belajar berdikari.

Satu hari dia berada di sekolah harian, membuatkan dia lelah. Sesi persekolahan bermula seawal jam 1.10 tengahari dan tamat selewat jam 6.50 petang. Satu kepastian, dua waktu solat akan dilaksanakan di sekolah. Tanggungjawab seorang hamba wajib dilaksanakan. Mengalahkah dia? Hanya satu hari mampu bertahan di sana. Mungkin jalan yang telah diatur untuknya bukan di situ. 

Seminggu berlalu. Teman-teman semakin serasi di sekolah satu harinya. Mungkin telahpun menyesuaikan diri dengan alam yang baru. Alam yang lebih mencabar. Satu surat diterima. Urusan Seri Paduka Baginda terpampang di penjuru bawah surat. Seolah-olah dapat mengagak isinya, dia menarik nafas kelegaan dan bersyukur kerana penantiannya berakhir. Tawaran ke sekolah berasrama.

Rata-rata teman memilih untuk ke sekolah harian, tapi dia memilih untuk ke sekolah berasrama. Terletak nun jauh di hujung negeri. Masih dalam negeri tempat tinggalnya, cuma berbeza daerah. 

Persiapan satu demi satu dilakukan. Hati dia bercampur-baur. Sayu, cemas, gembira dan pelbagai lagi rasa. Terasa sesak di dada untuk meninggalkan rumah tercinta. Tapi, ada impian yang harus digapai. Walau hati telah tetap untuk pergi jauh di hujung negeri, sedikit 'rasa' yang cuba dielakkan hadir juga. Hati harus digagahkan. Harus keras dan terus tabah. Dia yang memilih jalan ini. Dia harus tempuhinya dengan tabah dan cekal.

No comments: