31 December 2009

Bayu Bawalah Duka Ini Pergi, Perjalanan Akan Kuteruskan

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum buat semua pembaca..

Beberapa jam sahaja lagi 2009 bakal melabuhkan tirai. Sungguh aku langsung tidak menyedari akan pantasnya waktu berlalu. Hari berganti hari hingga genap 365 hari bagi tahun 2009 ini.

"Hidup tidak selalunya indah, langit tak selalu cerah.."

Begitulah lirik lagu yang cukup popular sekali didendangkan oleh kumpulan nasyid tanah air. Sebagai seorang insan yang khilaf dan sering terlupa, terkadang tanpa sedar ada kewajipan yang ditinggalkan tanpa sedar dan ada juga larangan yang dilakukan tanpa sedar. Ayuh! Muhasabahlah kembali apa yang telah berlaku sepanjang 2009. Sedar tak sedar kalender Hijriah juga telah berganti. Mengingatkan kita tentang masa lalu yang semakin jauh meniggalkan kita.

Hidup ini kadangkala diwarnakan dengan cahaya mentari yang menyinar terik dan adakalanya awan berarak menutupi terik matahari itu lalu membawa titisan hujan. Apabila hujan kembali reda, muncullah pelangi yang membawa tujuh warna yang indah. Spektrum warna kehidupan indah sekali terbentuk. Adakalanya kita gagal dan adakalanya kita kembali berdiri megah di atas tangga kejayaan.

Duka yang membaluti diri biarkan dibawa sang bayu yang bertiup lembut menampar-nampar pipi. Terasa hembusannya apabila bayu bertiup, dan terasa terbuai-buai apabila ianya pergi jauh. Begitunya duka yang dilalui manusia dalam hidup ini, terasa sakitnya walaupun hanya goresan dan lintasan terlintas di hati kecil. Kelak, apabila ianya pergi goresan itulah yang mengingatkan akan kepahitan yang pernah dirasai suatu masa dulu.

Suka pula kembali menjengah dan membaluti diri. Memberikan semangat untuk terus berpijak di bumi yang nyata. Agar tidak dibayangi kisah silam yang membuatkan airmata kembali menemani diri. Zaman itu biarkan pergi jauh-jauh dari diri. Semangat yang ada digunakan bagi mengejar kejayaan yang terbentang luas. Seharusnya anda positif dan optimis dengan masa depan anda. Anda tidak boleh merubah apa yang telah berlalu. Benar bukan? Jadi majulah ke hadapan tanpa mengulangi kisah duka itu kembali.

Nur: 2009 tahun yang stabil buat diri ini. Tiada kedukaan yang merantai terlalu kukuh, tapi kegembiraan yang banyak menemani rapat diri ini dalam menjadi lebih dewasa dan matang. Alhamdulillah Ya Allah memudahkan urusan hidup ini.

Aware About Date in January

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum buat semua pemabaca sekalian..

Tajuk entry adalah mengenai tarikh-tarikh penting yang perlu di'awasi' dengan kamera litar tertutup. Haha. Macam apa je bunyinya. Jadi, seperti biasa anda fokus dan positif selalu!! Mari berusaha bersama saya.

1 Januari 2010- Discussion Marketing Management

5 Januari 2010- Discussion Consumer Behavior


4 Januari 2010- Presentation Marketing Management (CISCO)

6 Januari 2010- Mid-Term Exam Marketing Management

7 Januari 2010- Family Night STEADFAST

9 & 10 Januari 2010- Mc League STEADFAST

14 Januari 2010- Proposal Due Consumer Behavior

15 Januari 2010- Talk To Think (3T) Steadfast

15-17 Januari 2010- Invitation Program STEADFAST


20 Januari 2010- Assignment Due Consumer Behavior

22-24 Januari 2010- Invitation Program STEADFAST

31 Januari 2010- Berbakti di Zoo Negara STEADFAST


***25-31 Januari- Mid Break for Semester 2 2009/2010

Sekali bila dah di'list'kan satu demi satu, terasa penuh dan padat sekali jadualku di bulan satu ini. Mampukah diri ini mengasingkan dan mengutamakan mana yang penting, kurang penting dan tidak penting sama sekali. Apapun kita sama-sama doakan perjalanan hidup kita dipermudahkan oleh Allah Ta'ala. InsyaAllah.

Nur: Final year di universiti sesungguhnya sangat padat dengan aktiviti yang pelbagai. Hmm..



Meluahkan Adalah Yang Terbaik

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum buat semua pengunjung..

Pertama-tamanya di keheningan pagi yang dingin ini, di kesepian penghuni kamar si penulis dibuai mimpi indah, salam penuh dengan senyuman kuucapkan pada teman bicaraku di alam maya ini. Entah kenapa, saat ini aku ingin meluahkan apa yang kurasai sepanjang tempoh 4 minggu semester baru yang kembali rancak. Terkadang, kita merasakan amat sukar sekali untuk meluahkan apa yang kita rasa, apa yang kita pendam dan apa yang kita sembunyikan. Seolah-olah semuanya adalah Top Secret yang wajar untuk dilindungi daripada pengetahuan sesiapapun. Namun, ada sesuatu yang kita tak pernah sedar bahawa meluahkan adalah penawar yang terbaik.

Ya! Mungkin dengan meluahkan apa yang kita rasa ramai yang mengatakan tak dapat membantu menyelesaikan pun masalah atau kemelut yang melanda diri. Akan tetapi, satu yang kalian tidak pernah sedari akan kepuasan jua ketenangan yang kita perolehi apabila kita meluahkan dan berbicara tentang apa yag tersembunyi jauh di dasar hati. Setiap masalah itu pasti ada jalan penyelesaian. Mungkin bagi sesetengah orang, cara meluahkan apa yang dirasai adalah dengan menulis (seperti yang aku sedang lakukan ketika ini), dan mungkin bagi sesetengah orang denga berbicara dengan teman jua sahabat handai yang akrab dengan mereka.

Namun, jangan pernah anda lupa bahawa kita semua mempunyai tempat luahan yang terbaik dan tak pernah sepi daripada mendengar luahan kita. Keluhan kita setiap hari akan kegelisahan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang khalifah iaitu Yang Maha Pencipta, yang setia mendengar luahan hamba-Nya iaitu Allah Ta'ala. Benar, hidup tak pernah sepi dari sebarang masalah. Hidup jua tak pernah sepi dari kesulitan yang dihadapi. Tapi, jangan pernah terlupa sebaik-baik tempat mengadu adalah Allah Ta'ala.

Justeru, aku menyeru diriku dan jua teman-teman serta sahabat-handai sekalian, tunaikanlah kewajipan yang difardhukan ke atas kita selaku orang beriman kewajipan solat 5 waktu sehari semalam. Saling mengingatkan antara satu sama lain akan tanggungjawab kita sebagai seorang hamba yang mensykuri ni'mat jua rezeki yang tidak pernah putus baik dari segi kesihatan, kewangan, kelapangan dan dari segenap aspek keperluan hidup ini. Wallahua'alam.

Done, 
Nur Qistina
Room 
6.06 AM
31 December 2009

Nur: Tersedar bahawa 2009 bakal melabuhkan tirai membawa segala kepahitan pergi dan meninggalkan kemanisan memori bersemadi dengan diri ini. Alhamdulillah..

Analisa Hidup & Thesis

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum buat semua pengunjung..

Sedang aku melayari internet dalam mencari article yang bakal direview, 'tersinggah' aku di web iluvislam. Hidup ini diumpamakan seperti thesis. Tertarik aku dengan perumpamaan ini. Terus aku menilai akan kata-kata ini. Seperti dalam literature review yang sering kita lakukan tatkala ditugaskan menyiapkan sesuatu tugasan. Beberapa isi atau struktur yang perlu dimuatkan dalam laporan yang bakal dihantar pada penilai bagi subjek tugasan tersebut.

Aku menilai kata-kata 'Hidup umpama thesis'. Lalu kubentangkan dalam laporan yang tidak dihantar pada sesiapapun untuk menilai. Hayatilah wahai teman-teman.


1. Introduction/ Pengenalan
Kita dikenalkan dengan dunia dan juga hidup apabila kita dilahirkan ke dunia ini oleh seorang wanita yang bergelar ibu. Bermulalah saat kita mengenal dunia ini apabila kita mula menangis ketika dilahirkan dan di'bebas'kan dari kantung kita tinggal selama dalam rahim ibu.

2. Objective/ Objektif
Objektif hidup ini atau dengan kata lain tujuan hidup ini adalah untuk mencari Redha Allah Ta'ala dengan cara beribadah kepadaNya. Sebagaimana Allah berfirman' Tidak aku jadikan manusia dan jin melainkan untuk beribadah semata-mata kepadaKu'.


3. Methodology/ Cara Kajian
Pelbagai cara atau jalan yang diberi dan ditunjuki oleh Allah s.w.t di samping petunjuk-petunjuk yang diberikan pada kita iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.


4. Literature Review/ Kajian Pandangan
Berdasarkan dua panduan yang digariskan kepada seorang Muslim, andai dua itu dijadikan panduan hidup (Al-Quran dan As-Sunnah), nescaya kita tidak akan tersimpang dari jalan-Nya. Dengan dua sumber itu jugalah kita jadikan pedoman akan kisah terdahulu yang mempunyai 1001 pengajaran yang wajar diikuti oleh orang yang beriman.


5. Conclusion/ Penutup
Pada ketika ini, apabila tibanya hari pembalasan, semua di atas bakal dinilai dan dihisab oleh Allah Ta'ala. Untuk melihat sejauhmana kita beramal dan memahami thesis yang diberikan pada kita. Adakah penulisan yang bermaksud 'perjalanan hidup' kita ini sentiasa lancar tanpa ada halangan, ataupun ketika mana kita tersungkur dan jauh dari-Nya dua panduan itu dijadikan pegangan.

Analisa hidup bagai thesis yang ditugaskan untuk kita selaku penulis bagi menulis dengan sebaiknya berdasarkan bahan yang diberikan dan juga sumber yang dibentang luas. Terpulang pada kita selaku penulis mencorakkan indahnya akan thesis itu buat tatapan diri yang bakal dihisab di hadapan penilai Yang Maha Agung. Wallahua'lam.

Nur: Muhasabahlah hari-harimu tanpa pernah terhenti.

Wajarkah Aku Merajuk? T_T

Bismillahirrahmanirrahim..
Assalamualaikum buat semua pembaca..

Before this my entry is about Soft Skills that needed when you're graduating later. Now, i wanna shared to all of you guys about what i feel yesterday. Wajarkah aku merajuk menjadi entry kali ini. Ya! Aku adalah sensitif orangnya dan mungkin boleh masuk dalam kategori yang 'terlalu sensitif' barangkali. Dan ini hanya akan terjadi dalam sebahagian situasi. Terutama yang melibatkan hubungan yang rapat dengan diriku ini. Benar, aku wajar untuk terasa dan wajar juga untuk tidak terasa. Tapi..Entah kenapa aku amat terasa sejak-dua menjak ini. Sampai yang ada menyoal PMS kah aku? Owh. Tidak sama sekali.

Hmm..Biarkan patah kata yang berbicara. Dalam minggu ini, banyak yang aku secara tak sengaja 'tersensitif' sebentar. Salahkah aku bertindak sedemikian? Biarkan apa yang anda mahu katakan. Aku punya rasa, biarkan aku yang tanggung! Owh, kasar sekali gaya bahasa di situ. Kata yang lain 'Ada aku peduli pasal ko?' dan juga 'Ada aku kesah pasal ko?'.. Namun, aku bukanlah insan yang 'sekejam' itu untuk mengeluarkan kata-kata sebegitu. Hanya terkadang kata-kata ini terlintas di lintasan hati. Tak mampu untuk meluahkan. Kerana, jika aku meluahkan juga, kelak yang menanggung sakitnya adalah aku. Jadi, biarkan ianya begitu. Tak salah bukan?

Terasa memang banyak. Kadang-kadang, soal yang kecil pun mampu membuatkan aku berkecil hati. Hatiku ini tidaklah sekuat mana. Seperti besi yang memerlukan api bagi mencairkannya lalu dibentuk pada bentuk yang diingini. Hatiku ini mungkin barangkali seperti kerak nasi yang pabila direndam dengan air, lama-lama akan lembut. Dan mungkin juga seperti batu yang pabila titis air menimpa atasnya membentuk lekuk di atas batu itu. Hati ini terlalu sensitif dengan tindakan 'mereka'. Banyak yang membuatkan hati ini terasa. Benar, jika tak mahu hati terasa jangan lakukan sebegitu rupa pada mereka. Pernahkah aku memperlakukan mereka seperti mana mereka perlakukan padaku? Seiingat aku belum pernah aku bertindak begitu. Mungkin pernah barangkali, cuma aku tidak sedar. Jadi, tolong sedarkan aku.

Akukah yang begitu 'terasa hati'? Apa agaknya yang membuatkan aku ingin merajuk? Rajuk yang panjangkah? Wajarkah aku coretkan tentangnya? Wajarkah aku luahkannya? Wajarkah aku pamerkannya? Wajarkah aku membicarakan tentangnya? Atau aku yang terlalu 'mengada' untuk merajuk dan berjiwa sensitif ini. Ah! Penat hati ini merasainya. Ingin benar aku menguatkan hati dan bersikap tidak sensitif. Wajarkah aku begitu? Maaf, andai kata-kata ini membuatkan mana-mana pihak terasa hati-sensitif dengan kata-kataku yang tidak bertapis ini barangkali.

Benar, aku sesungguhnya sangat penat akan situasi ini. Akukah yang terlalu sensitif dengan semua ini? Biarkan, selepas ini aku tidak mahu menjadi seorang yang sensitif atas apa jua yang berlaku. Biarkan rajukku kali ini rajuk yang panjang. Dan! Jangan ada yang pernah memujuk. Kerana sesungguhnya aku amat penat menjadi sensitif. Aku ingin sekali menjadi 'mind my own business' as well as 'don't concern about anyone anymore'. Can I do that? Seriously, I am tired enough already. Please, you and you and you all understand. Akukah yang tidak memahami kalian?

Nur: Lihat pada apa yang dimiliki. Bukan pada apa yang dimiliki orang. Hati dipujuk dengan kata-kata ini. Biarkan aku dalam rajuk yang panjang. Usah dipujuk rajukku ini. Kelak ku kembali dengan satu kata yang membawa keindahan pada semua. Yang menyejukkan hatiku jua hati mereka. Kata keramat yang mampu mengubah segalanya 'MAAF'.