Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum buat semua pembaca..
Waktu aku tengah taip entry ni, hujan turun dengan lebatnya di bumi Taman Ilmu dan Budi. Moga selepas hujan reda nanti pelangi akan muncul.
Tak tahu nak mulakan dari mana. Biarkan patah kata menari-nari tanpa rentaknya. Tak tahu la nak kata kalau-kalau aku yang terlebih 'rasa hati'. Tak tahu juga kalau-kalau nak kata aku terasa hati atau apa. Mungkin betul kata orang, kadang-kadang gerak laku kita tak sama dengan apa yang yang kita katakan. Kata hati tidak ada apa-apa yang berlaku. Tapi gerak laku jelas menunjukkan sesuatu sedang berlaku.
Hmm. Mungkin. Mungkin aku yang terlebih ambil hati. Kadang-kadang aku cuba jujur dengan perilaku diriku.
Kata abah:
Kalau aku marah atau terasa tentang sesuatu, aku banyak diam. Tapi, airmuka toksah cakaplah. Cemberut je memanjang. Muncung tu agak boleh kira mau panjang sedepa.
Entahlah. Tapi, betul juga. Kalau ada sesuatu yang terbuku di hati, kadang-kadang mampu menggugat ketenangan diri. Macam ada 'sesuatu' yang mengekori.
Pada awak yang saya tahu akan baca nota ini, terima kasih atas mesej awak. Saya terusik dengan kata-kata yang awak nukilkan buat saya. Mungkin saya juga bersalah dalam hal ini. Tak mengapalah. Perkara kecil saja. Saya yang terlebih ambil hati. Walhal takde apa-apa pun sebenarnya. Saya pun minta maaf juga. Mungkin dua kali terserempak saya hanya mampu senyum tanpa berkata-kata apa-apa. Jujurnya saya marah dengan diri saya sendiri kerana tak mampu nak tegur awak seperti sebelum ni. Aneh bukan jika kita bicara soal hati ini. Terima kasih atas doamu itu. Semoga persahabatan kita takkan kurang walau sedikitpun malah bertambah erat dari sebelumnya. Terima kasih atas persahabatan ini.
Tiba-tiba aku teringat suatu masa dahulu. Satu surat pernah aku karang untuk seseorang.
Ke hadapan sahabatku yang kukasihi dan kusayangi kerana Allah,
Semoga dirimu sentiasa di bawah lindungan rahmatNya serta dikurniakan tubuh badan yang sihat bagi menunaikan tanggungjawabmu sebagai seorang Muslim. Ketika nukilan ini kutulis mungkin kau sedang ditemani oleh sahabatmu yang mampu menceriakan dirimu lebih dariku. Walau bersama siapapun dirimu ketika ini, walau siapa jua di sisimu, diriku tetap mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan dirimu.
Sahabatku,
Sepanjang cuti yang lalu, banyak yang telah kufikirkan. Tentang kata-katamu mengenai diriku. Tentang teguran darimu yang membuat diriku tersedar dari lamunanku. Terima kasih wahai sahabatku. Dengan kata-kata dan teguran darimu, aku muhasabah kembali tentang apa yang telah aku lakukan sepanjang kita bersahabat. Adakalanya perlakuan dan tutur kataku melukai hatimu. Tapi kau masih tersenyum ketika berbicara denganku. Ku akui kelemahan diri yang sukar sekali mengawal bicaraku. Telah banyak kali kuingatkan diri ini agar mengawal setiap tutur bicaraku namun diriku kecundang jua.
Sahabatku,
Kadang-kadang banyak perkara yang ingin kukongsi bersama dirimu. Bila kusedar tentang siapa diriku pada pandangan matamu, cepat-cepat aku padamkan keinginan hatiku itu. Aku mengerti bahawa aku bukanlah sesiapa pada dirimu. Tapi bagiku dirimu amat bererti buat diriku. Sejak aku mengenali dirimu, banyak perkara yang tak pernah aku bayangkan menjadi sebahagian dari kisah hidupku telahpun kutempuhi. Ianya amat beerti bagi diriku yang masih mencari tentang erti kehidupan yang sebenar.
Sahabatku,
Aku tertanya ke mana hilangnya kemesraan hubungan kita. Kenapa kau mendiamkan diri dan tidak menjawab semua panggilanku? Jika benar diriku ada berbuat salah dan melukai hatimu, maafkanlah diri ini kerana aku jua manusia biasa yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Khabarkan pada diriku tentang apa yang telah aku lakukan yang membuatkan dirimu menjauhkan diri dariku. Jika dirimu enggan memaafkanku, apalah dayaku kerana hanya kau yang berhak untuk memberikan kemaafan padaku. Sahabatku yang lain pernah berkata 'Orang yang memaafkan kesalahan orang lain punyai jiwa yang besar'. Mahukah kau menjadi seperti mereka?
Sahabatku,
Aku tidak mampu lagi untuk menyusun madah kerana setiap kali diriku mencoret nukilan buatmu aku dapat rasakan yang kau semakin jauh dariku. Ambillah sebanyak mana waktu yang kau mahukan. Akanku didik diri ini agar sabar dalam menanti sebuah kemaafan darimu. Jika itu harga sebuah kemaafan yang perlu kubayar akan kusabar dalam penantian ini.
Sekian dariku.
Al-Mukhlisah,
~Sahabatmu~
Sahabat, walau di mana pun berada, walau di zaman manapun dilalui takkan pernah berubah.
Nur: YA ALLAH, terima kasih atas anugerah sahabat disisiku.

2 comments:
:)
selalu juga buat muka panjang mcm tu.
semoga baik2 semua :)
Post a Comment