Bismillahirrahmanirrahim..
Ke hadapan kau yang tak pernah ku kenali..
Entah
angin apa yang membuatkan aku berani mencoretkan catatan ini. Sekadar
untuk meluahkan rasa yang membelenggu di hati barangkali. Jujurnya, aku
tidak pernah pun terfikir untuk mempunyai hubungan istimewa dengan
mana-mana lelaki. Pada aku, bila waktunya telah tiba pasti ia akan
datang sendiri. Kelak, tiada hati yang terluka, tiada air mata yang
mengalir, tiada dendam yang terpendam.
Kata
seorang penulis, jodoh itu adalah rahsia. Ia terjawab bila tiba
masanya. Tidak ada petanda, pembayang atau ramalan. Apabila bertemu
jodoh, bersatulah pasangan itu. Jadi, untuk apa aku risaukan tentang
rahsia yang memang tersimpan rapi dalam jagaan Allah Ta'ala. Benar, kata
orang kita tak boleh menunggu jodoh, kita harus mencarinya. Kira,
dalam tempoh itu kita berhak untuk mengenali dan membuat penilaian
tentangnya.
Tak
salah bukan jika kita ingin memilih yang terbaik. Tak salah juga untuk
kita menolak seseorang dalam hidup kita. Selagi mana kita belum
bersedia untuk menempuh alam yang baru, mengapa kita nak menjebakkan
diri dalam semua itu. Jika teman yang kita kenal atas dasar kerja, jadi
kenapa mesti dipanjang-panjangkan untuk bertanya khabar dan
sebagainya.
Aku
bukanlah mahu menidakkan fitrah diciptanya manusia itu
berpasang-pasangan. Pernah juga rasa untuk disayangi dan menyayangi
muncul. Tapi, cepat-cepat aku ingatkan diri, rasa itu hanyalah untuk kau
yang dijanjikan untukku. Pernah ada yang menghulurkan salam padaku,
tapi secara halus aku menolaknya, kerana aku masih tidak bersedia untuk
semua itu.
Aku
menginginkan yang terbaik untuk diriku. Aku mengimpikan seseorang yang
mampu memanduku dan memimpinku ke jalan yang diredhai Allah Ta'ala.
Jadi, aku harus menyiapkan diriku ke arah itu. Aku harus sentiasa
memperbaiki diri yang serba kekurangan ini sehinggalah kita bertemu. Dan
semua ini akan berterusan.
Andai kau yang
ditakdirkan untuk diriku, aku menerima ketentuan Allah ini. Tentunya
rasa kasih itu akan bercambah hari demi hari sehinggalah kita bertemu.
Selagi kita masih belum mempunyai ikatan yang sah, janganlah kita
hanyut dalam rasa ini. Janganlah sehingga kita melanggar laranganNya
yang mana natijahnya akan membawa kesusahan di masa hadapan.
Yakinlah
pada janjiNya bahawa lelaki yang baik untuk perempuan yang baik dan
begitu sebaliknya. Cintaku ini hanyalah untuk Allah. Pastinya Allah akan
memanduku pada orang yang juga menyintaiNya. Suatu hari nanti, bila
kita telahpun bertemu, pasti aku akan khabarkan apa yang ingin aku
katakan selama ini. InsyaAllah.
Salam sayang dari yang tidak mengenalimu,
Nur Qistina
20100408
0545
Nur: 2 tahun berlalu pada saat nota hati ini ditulis. Moga, yang samar menjadi terang, yang kelam lebih bercahaya. Ya Allah, perkenankanlah. Amin~
No comments:
Post a Comment