19 September 2010

Belajar dan Mengenali

Bismillahirrahmanirrahim..

Puji-pujian hanya untuk Allah s.w.t. Alhamdulillah, dengan izin-Nya aku kembali dengan JIWA + RAGA yang bersemangat. Emosi yang sihat. Benar kata orang, kadangkala kita perlukan waktu untuk memanjakan diri sendiri.

Mungkin ada antara anggota badan kita yang terlalu lama beroperasi menyebabkan letih dan kurang rehat. Apapun yang penting sebenarnya adalah kesihatan fizikal dan mental. Gabungan kedua-dua ini membentuk emosi. Emosi yang sihat akan menjana kehidupan yang sihat dan riang gembira.

Jangan kedekut untuk memberi masa untuk menggembirakan diri sendiri. Kerana hanya kita yang tahu apa yang kita mahu dan apa yang kita inginkan. Dengan kata lainnya, kunci kebahagiaan terletak pada diri kita sendiri. Tepuk dada tanyalah diri apa yang kita mahukan.



Kadang-kadang, kita telah tetap dengan matlamat dan halatuju kita. Namun, semakin kita menghampiri matlamat dan halatuju itu, semakin goyah pendirian kita. Pentingnya prinsip memainkan peranan. Prinsip untuk dituruti dan dipertahankan. Namun, harus diingat janganlah prinsip yang dicipta akhirnya memakan diri sendiri.

Tak dinafikan terkadang, kita merasa apa yang kita inginkan itu sukar dicapai. Lalu, terciptalah satu perkataan yang membunuh semangat untuk mencapai cita-cita itu. MUSTAHIL katanya.

Dalam dunia ini, kata orang tiada yang mustahil. Semuanya terletak pada apa yang kita fikirkan dan impikan. Dari fikiran dan impianlah yang membentuk angan-angan dan akhirnya menjadi realiti. Di sini, ternoktahlah kata-kata MUSTAHIL itu. Biarkan ianya berkubur kerana impian dan cita-cita itu berjaya dicapai.

Gantungkan impian setinggi bintang di langit. Namun, iringkan dengan usaha seperti padi yang semakin berisi semakin menunduk menyembah bumi. Jangan jadi seperti lalang yang terbuai-buai mengikut tiupan angin. Angin bertiup ke kiri, ke kirilah ia. Jika ke kanan, ke kananlah ia.

Selingan

Cerita 1

Amim: Jat, amekkan Amim cicap. Amim nak makan nasi dengan cicap.
Aku:  Bukan cicap la Amim. Che' ingat cicak apa. Kicap la. K.I ki, C.A.P, cap..Kicap.
Amim: Cepatlah Amim nak cicap tu. 
Aku: 'Haish adik aku ni. Orang sebut tak nak ikut.'

Cerita 2

Teringat ada satu hari tu, adik Amim ni sibuk nak pergi perpustakaan.

Amim: Abah, Amim nak pie pustakan.
Abah: Cuba sebut. Per. pus.ta.ka.an Perpustakaan.
Amim: Per.pus.ta.ka.an. Pustakan.
Abah: Cuba sebut lagi. Ikut abah. Per.pus.ta.ka.an.
Amim: Pustakan.
Setelah hampir 10 kali disebut akhirnya Amim berjaya menyebut perpustakaan.

Moral 1:  
Belajarlah dari orang yang mengetahui. Tahu bukan beerti setakat tahu, tetapi memahami apa yang diajarkan.

Moral 2: 
Bersabarlah dalam memberi tunjuk ajar pada orang yang tidak tahu.

Nur: Tiba-tiba teringat cerita Sabar tayangan TV3 pagi Syawal ke-berapa tah. 'Sikit punya.'